Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi
Oleh yang demikian, pemerkasaan bermaksud
menjadikan sesuatu itu berwibawa, dominan, kuat, hebat, terkenal,
berdaulat, dominan, dan sebagainya.[Kamus Dewan Edisi Ke-4,2005]
Justeru, pemerkasaan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa yang hebat, terkenal, berdaulat dan dominan di dunia ;
hebat dari segi kandungan ilmunya, keintelektualannya, keluasan
penggunaannya, nilai ekonominya dan keterbacaannya.[Prof,Dr, Hashim
Hj.Musa,2009] Pada masa ini, sistem pendidikan negara berpengantarkan
bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan
Negara iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dalam abad ke-21,
bahasa Melayu telah menghadapi cabaran apabila pada tahun 2003, sains
dan matematik dalam semua peringkat diajar dalam bahasa Inggeris.
Senario ini telah memberi impak kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi di negara ini. Pejuang-pejuang bahasa telah bersatu hati
untuk mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu, Seminar-seminar,
pembentangan kertas kerja dan sebagainya telah diadakan bukan sahaja di
dalam negara malahan di luar negara. Tidak cukup dengan itu, badan NGO
dan bukan NGO turut bersama-sama untuk memastikan bahasa Melayu perlu
dikembalikan dalam mata pelajaran sains dan matematik.
Pada tahun 2010,, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah
mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik
akan diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa
Melayu kembali dominan dan diperkasa.
Kejayaan sesuatu bangsa bukanlah berdasarkan bahasa Inggeris, tetapi
kefahaman sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa ibunda. Justeru, ada
yang menganggap bahawa orang Melayu atau negara ini tidak akan maju
jikalau orang Melayu tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa
ilmu dan bahasa kemajuan. Perlu diingati, negara Jepun, Korea Selatan
dan banyak negara lain masih menggunakan bahasa ibunda dalam semua
bidang. Pemerkasaan bahasa ibunda mereka, telah menjadikan negara mereka
maju malah lebih maju daripada negara barat.
Selain itu, masyarakat sudah mula menunjukkan pentingnya peneguhan dan
penegasan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan. Maksudnya, masyarakat sudah sedar betapa pentingnya bahasa
Melayu dan kini wujudnya generasi yang mahu mempelajari dan mahir
menggunakan bahasa Melayu. Menurut Dr. Nik Safiah Karim[1993], Dasar
Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah berjaya, terutamanya jika dilihat
dari perspektif penggunaannya dalam jentera pentadbiran, dalam sistem
pendidikan, dan dalam beberapa domain utama kehidupan sehari-hari
masyarakat Malaysia. Kita boleh berbangga dengan kejayaan tersebut.
Namun cabaran yang lain timbul pula, iaitu dalam bentuk penggemblengan
usaha daripada pelbagai pihak yang masih diperlukan untuk melestarikan
(mengekalkan atau menetapkan) sekali gus mempertingkatkan mutu bahasa
yang digunakan. Dalam kata lain, semua pihak perlu bekerjasama untuk
memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan agar cabaran abad ke-21
tidak meminggirkan bahasa Melayu sama ada dalam sistem pendidikan atau
pentadbiran.